Kata orang, bumi ini tak bulat. Apa kata orang tentang dunia pula?

Surat dari Kanda


Surat tanpa tarikh dan tanpa alamat pengirim ini diutus oleh salah seorang rakyat Malaysia yang telah ditahan di Guantanamo. Ia telah ditulis semula untuk di ruang ini untuk kita semua mendapat pengajaran dan mengambil iktibar tentang apa yang ingin disampaikannya. Jutaan terima kasih buat salah seorang mahasiswa dari Adelaide kerana sudi berkongsi dan memberi izin untuk warkah ini dibaca dengan lebih meluas.

Assalamualaikum warrah matullah,

Ke hadapan adik-adikku yang gigih menuntut ilmu pengetahuan. Semoga kalian teguh dalam perjuangan dan dirahmati Tuhan sentiasa.

Kanda menulis warkah ini kerana merasakan inilah satu-satunya cara yang terbaik untuk kita saling berhubungan dalam kekalutan yang berlaku di dunia kita sekarang. Pihak musuh, dengan keupayaan teknologinya, dengan CIA, FBI dan Scotland Yard, sudah memasang banyak mata di mana-mana pun, terutamanya dalam dunia virtual elektronik ini. Jadi, rasional kanda mengarang surat tulisan ini, supaya ia tak mudah terhidu. Harapnya begitulah. Moga adik-adikku sekalian, bersabar dan cuba mengambil pengajaran sebanyak mungkin tentang apa yang kanda ingin katakan.

Adinda yang kanda kasihi,

Dalam warkah kali ini, ingin sekali kanda ingatkan semula tentang pemahaman kita terhadap kehidupan di dunia ini. Seperti yang kanda terangkan, salah faham kebanyakan orang, mengatakan bahawa kita diturunkan ke dunia ini tanpa apa-apa pengetahuan. Seolah-olah kita ini bodoh, jahil dan kosong, diturunkan Tuhan ke bumi ini, untuk kita menyelongkari kebenaran dengan tangan kita sendiri. Kita didoktrinkan dengan falsafah René Descartes, yang mengatakan bahawa 'Cogito ergo sum,' yang bermaksud 'I think, therefore I exist.' Fahaman Descartes yang menunjangi falsafah Barat ini telah meracun pemikiran masyarakat Timur, terutamanya kita, yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. 'Terima kasih banyak-banyak' kepada athiest-athiest Inggeris yang berlayar jauh-jauh ke Tanah Melayu, semata-mata untuk menjatuhkan pemahaman tauhid kita dengan mengatakan; 'Tuhan itu wujud kerana anda memikirkannya.' Sekarang, setelah ulangtahun ke seratus penjajah Inggeris ke atas tanah air kita, kita dapat melihat buah beracun kecelaruan pemikiran ini. Rakyat Malaysia menjadi keliru dan semakin sukar menerima kesahihan Islam, sama ada akidah dan syariatnya, yang merupakan jati diri dan tulang belakang budaya dan ketamadunan kita. Malah, budaya popular yang menular masuk, termasuk pemujaan hiburan yang melampau, serta takrif liberalisme dalam agama menjadi semakin diterima dalam masyarakat kita. Kanda tidak dapat tidak untuk memperkatakan hal ini, supaya adik-adik dapat renungkan, meskipun memerlukan renungan yang dalam. Dengan renungan yang dalam sahajalah, kita akan mengerti apa sebenarnya realiti, dan memudahkan kita mencari solusi.

Adinda yang kanda sayangi,

Sebenarnya, manusia diturunkan ke dunia ini tidak bodoh, tidak jahil dan tidak kosong. Sewaktu Nabi Adam as diturunkan ke dunia, dadanya sudah penuh diisi ilmu oleh Allah SWT. Malah, dalam surah Al-Aa'raf ayat 172, para ruh telah berjanji dengan Allah SWT, bahawa dialah Rab, yang patut disembah, yang perlu diikuti perintah-Nya dan dijauhi larangannya. Manusia yang diturunkan ke dunia ini dengan pengetahuan itu, dan terbias menjadi fitrah asli insan. Allah juga mengurniakan akal pada manusia, untuk menimbang, dengan dibantu oleh panca indera, supaya kebenaran dan sumpah yang diucapkan di hadapan Allah di alam ruh itu, diteguhkan sepanjang masa di alam syahadah ini, alam dunia ini. Kemudian, Allah mendatangkan Rasul, untuk menyampaikan peringatan dan memelihara firman-Nya di dalam kitab-Nya supaya menjadi rujukan sehingga dunia ini dilipat. Ini supaya, kita selamat kembali semula ke kampung asal kita, di syurga, tempat nenda Adam dan Hawa as. Bukan sekadar menumpukan kehidupan sementara di dunia ini, bahkan untuk menyediakan diri untuk kehidupan yang tak akan berakhir di akhirat sana.

Nah, bukankah lain benar paksi pemahaman kita antara Timur dan Barat. Atau lebih tepat kanda katakan, anda Islam dan bukan Islam?

Hakikatnya, manusia dinamakan insan kerana Allah mencipta kita dengan sifat lupa. Kita mudah lupa pada perjanjian yang telah kita lafazkan di hadapan Tuhan, lama di alam ruh dahulu. Tetapi, dengan peringatan, dengan panduan dan dengan jalan yang ditunjukkan Tuhan, kita tidak boleh mengemukakan alasan 'lupa' sekiranya ditanya di hadapan Tuhan. Sebab itulah, adinda sekalian, perlu sentiasa saling mengingati diri, juga adik-adik yang lain, juga saudara, juga ibu bapa, juga teman-teman adinda dan masyarakat di sekeliling, tentang yang benar dan yang salah. Tentang apa yang telah kita janjikan dan apa yang kita telah lupakan. Tentang matlamat akhir perjalanan kita dan tentang tipu daya dunia yang sekadar senda gurau.

Nyatalah, usaha untuk kita saling memperingati dan saling selamat-menyelamatkan ini bukan satu kerja yang mudah. Ada sahaja halangan yang perlu kita anggap sebagai ujian, dan di balik ujian itu, ada hikmah andai tabir masa dan fikiran kita selak dengan penuh kesabaran. Malah, usaha pentarbiyahan, atau lebih tepat kanda sebutkan sebagai usaha ta'dib, untuk memberitahu manusia lain, tentang betapa tingginya nilai kemanusiaan yang ada pada diri mereka, tentang tempat yang seharusnya mereka impikan dan perbuatan yang selayaknya mereka lakukan. Malah, dijadikan binatang sebagai makhluk yang hidup bersama di dunia ini, untuk kita perhati, beza antara kita dan mereka. Beza antara manusia dan binatang. Beza antara binatang dan lebih teruk dari binatang.

Di sudut lain pula, Allah menurunkan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan, par excellence, sebagai manusia berakhlak sempurna, untuk kita jadikan contoh dan ikutan, baik dari segi perbuatan atau dari segi pemikiran, juga dari segi perasaan. Sekali lagi kanda ingin tegaskan, kita di dunia ini, bukannya tidak dibekalkan dengan apa-apa, malah diberi serba-serbi kelengkapan, supaya selamat sampai di halaman sana, halaman yang dijanjikan oleh-Nya.

Adik-adikku yang kanda cintai,

Adinda sekalian masih menuntut di alam mahasiswa. Malah, adinda sekalian adalah mahasiswa luar negara, yang masih muda, dibiaya sepenuhnya oleh kerajaan atau agensi swasta. Malah, adinda sekalian adalah golongan terpilih, untuk menjadi agen pengubah, bagi masyarakat kita di tanah air. Maka, gunakanlah kelebihan ini dengan sebaiknya. Adinda bukan sekadar sahaja perlu belajar dan menguasai jurusan yang adinda ceburi, malah gunakanlah peluang ini untuk mendalami kemakmuran dan kecanggihan teknologi yang dipunyai oleh tamadun di sini. Belajar maksud kanda tidak semestinya kita perlu tunduk mengikut. Ambillah misalan orang Melayu kita dahulu, saat kapal dagang lalu, ditelitinya tebat layar, kemudi dan bentuk kapalnya. Baik kapal yang melalui selat Melaka itu adalah tongkang dari China, Dau dari Arab atau Galleon dari Eropah. Lalu, dipilihnya mana yang terbaik antara ciri-ciri kapal yang berulang-alik ke Timur dan Barat setiap enam purnama itu, lalu direka sebuah Bedar yang lebih moden, yang lebih canggih dan terbina daripada elemen-elemen yang terbaik dari kesemua kapal di dunia ini.

Itulah gunanya belajar di negeri orang dan di tengah kebudayaan yang asing dari kita. Kanda kira, adinda akan menyiapkan sebuah Bedar yang sempurna, yang akan membawa masyarakat kita di tengah gelombang dunia yang semakin menggila sekarang. InsyaAllah, pada hemat kanda, ini adalah rahmat yang diberikan Tuhan pada adinda sekalian. Rahmat yang berupa peluang untuk belajar dan menyaring ilmu luar, untuk dimanfaatkan untuk membina semula ketamadunan kita, ketamadunan umat Islam.

Adindaku sekalian,

Inilah rasional kanda menyelak selimut yang setelah sekian lama menyelesakan, turun dari katil yang membuatkan kanda tidur nyenyak dan berani menyentuh salji di luar. Inilah alasan kanda mengikuti cara hidup yang kurang popular, kurang diamalkan oleh rata-rata manusia, yang kadang-kala bertentangan dengan arus perdana. Perit maung menahan kepedihan dibiarkan, didiskriminasi, menangis sendirian dan meraung-raung di atas sejadah kerana mahu mengalah, telah mendewasakan kanda, mematangkan kanda dan menjadikan kanda lebih berani. Berani untuk bangun dan terus berlari, untuk mengatakan apa masalah dan apa jalan keluarnya, untuk berani membaca apa yang mencabar pemahaman kanda selama ini dan berani berhujah di hadapan orang-orang yang pintar berbicara. Bukannya kanda ingin mengangkat bakul sendiri, tetapi, bila ditanya kenapa kanda sanggup menempuh kehidupan ini, inilah jawapan yang terbaik yang kanda rasa, untuk menjelaskan situasi kanda.

Ini jalan yang telah kanda pilih dan kanda akan laluinya dengan tabah. Biarpun dikejar oleh CIA dan FBI untuk disumbat ke dalam penjara Guantanamo, kanda akan tetap mempertahankan kefahaman kanda dan akan mengkongsikannya pada sesiapa yang kanda sempat ketemui. Adinda sekalian, mempunyai komitmen yang selari dengan kapasiti adinda. Maka, terokailah diri adinda dan kenalilah apa dan bagaimana ciptaan sudut pandang, emosi dan fizikal adinda. Andai sama seperti kanda dan mahu menjadi seperti kanda, maka kita akan melangkah seiring dan berlari laju ke arah matlamat yang kanda huraikan di atas tadi. Andai berlainan pandangan, maka inilah dikatakannya sebagai kelebihan. Laksana bangunan, ada batu-bata yang saling mengukuhkan. Asalkan matlamat kita sama, asalkan caranya itu kena pada kehendak-Nya dan logik diusahakan dengan kapasiti tenaga dan umur yang terhad, maka jalanilah dengan bersungguh-sungguh dan cekal. Kita akan membina tamadun seperti bangunan yang kukuh pada tapaknya dan tinggi mencakar langit, teguh berdiri sungguhpun zaman berganti.

Semoga anak-cucu kita akan bersyukur diwariskan dengan usaha yang telah kita usahakan. Usaha yang telah kita jayakan, bermula dari hari ini. Bahkan, yang paling penting, usaha ini mendapat keredhaan dari Allah SWT, kerana tanpa keredhaan-Nya, tiadalah guna kita menjadi manusia.

Maafkan kanda kerana tidak menulis dengan lebih rinci. Masa begitu mencemburui. Malah, tempat yang kanda tinggal sekarang pun, katanya sudah dikesani penyiasat. Kanda perlu mengungsi lagi, atas dasar keselamatan dan atas dasar kesinambungan usaha kita untuk melihat tamadun kita kembali berada di tempatnya.

Sekian sahaja buat masa ini. Kasih sayang kanda buat dinda sekalian, moga dapatlah dizahirkan. Maafkan kanda andai memungkiri janji ini saat berada di dunia. Kanda pohon pada Tuhan yang Esa, supaya di syurga nanti, dapatlah kita kembali bermesra dan menceritakan kembali episod ini dengan rasa suka dan penuh dengan rasa cinta. Insya-Allah.

Wallahualam.

Wasalam.

Bangsawan

Akhirnya, setelah dua tiga hari aku menderita di balik ESBE (Exam Shocked Brain Effect), aku dapat kembali semula melakukan perkara yang aku cintai sepenuh hati. Nyatalah, kongkongan intelektual yang datang dengan penderaan mental sememangnya lebih sukar dijalani daripada dugaan fizikal. Dan, kebetulan pula aku ini bukanlah jenis ahli ragbi yang mewakili Malaysia, maka 2-3 hari jugalah aku ambil masa untuk kembali pulih daripada ESBE. Dan setelah pemulihan ESBE, akal sebelah otak kanan boleh kembali beraksi.


Kali ini, mari kita berkongsi renungan semula.

Bangsawan.

Gelaran zaman Pertengahan yang membawa maksud sama dengan golongan elit. Walaupun zaman berubah ke zaman Teknologi Maklumat, golongan ini terus wujud dalam kelas manusia dan mengamalkan fi'ilnya tersendiri.

Bangsawan.

Bangsawan bukan terbit daripada perkataan bangsa+sawan. Ia adalah kata terbitan bangsa+wan. Seperti angkawasan, negarawan dan sasterawan, bangsawan merujuk kepada sekumpulan manusia yang ahli (pakar) kepada kata terbitan awal itu. Misalnya, kalau kita mengatakan si SM itu angkasawan, maka dia adalah pakar angkasa. Juga, jika Tun Det kita kata negarawan, maka dia adalah pakar membangunkan negara.

Namun, bangsawan, tidak semestinya pakar mengenai bangsanya. Atau dalam erti kata lain, bangsawan bukanlah penentu 'standard' dan identiti sesuatu bangsa itu. Yang menentukan 'standard' dan identiti sesuatu bangsa digelar budayawan.

Maka, apa itu bangsawan? Mari kita renungi kamus Dewan:

bangsawan1. (orang) berbangsa, (orang) keturunan mulia: seorang ~ yg bernama Datok Alam Tujuh

Jadi, nampaklah kita bahawa bangsawan itu golongan yang mulia, dipandang tinggi, bersinonim dengan perkataan aristokrat, ningrat dan permasan. Golongan yang dikatan mulia, aristokrat di zaman ini merujuk kepada para professional yang menjawat jawatan teknikal yang kritikal dan juga merujuk pada golongan manusia yang memegang tampuk kuasa sesuatu organisasi, baik organisasi syarikat ataupun politik.

Maknanya, anda di Adelaide ini bolehlah dikatakan perantis bangsawan, kerana anda adalah pelajar-pelajar sekolah yang terpilih, dibiaya dengan biasiswa dari kerajaan dan syarikat swasta, belajar subjek-subjek kritikal dan akan pulang ke negara (atau tinggal di sini) untuk menjawat jawatan jurutera, doktor, ahli kaji bumi, pakar ekonomi, akauntan, bioteknologi dan sebagainya.

Jadi kenapa? (So what?)

Satu persoalan di sini, apakah kita bersedia untuk menjadi pelapis golongan bangsawan yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat?

Jawapannya, ya atau tidak.

Ya, sekiranya anda sedar anda itu lapis bangsawan yang akan meneraju negara mengikut cabang kepakaran anda. Mulia di sini tak semestinya pandai mengendalikan mesin, pandai membedah, pandai mengira turun naik saham sahaja. Mulia merujuk kepada manusia yang lengkap dari semua segi; akhlaknya, kepintarannya, kesungguhannya dan banyak lagi. Dengan kesedaran ini, masyarakat akan memandang golongan ini sebagai golongan yang perlu dihormati, dicontohi dan secara tidak langsung, akan memandu sesuatu bangsa itu menjadi bangsa yang lebih mulia, dihormati dan dicontohi.

Tidak, sekiranya anda masih tiada kesedaran yang anda akan menjadi bangsawan. Anda leka membazir masa dan wang berseronok ke sana ke sini di negeri orang, tanpa belajar dan menggali khazanah bangsa orang lain. Anda ralit duduk di hadapan laptop, menghabiskan kehidupan anda dengan menjawab kuiz-kuiz di Facebook, menonton movie dan bermain game, ber-chatting demi mempertahankan cinta jarak jauh dan sebagainya. Anda bukanlah pelapis bangsawan sekiranya anda jenis telinga satu, jenis mendengar sahaja kata orang, tanpa mengkaji dengan lebih mendalam kebenarannya, lebih suka gossip dan sensasi dan berusaha membina gossip dan sensasi, berkelompok dalam kumpulan tersendiri tanpa meneroka masyarakat yang pelbagai ragamnya dan lain-lain lagi. Anda juga tidak bersedia apabila disuguhkan dengan pengarangan-pengarangan yang luar dari skop kehidupan anda, yang lebih kritikal dan mencabar pemikiran dan apabila menulis sesuatu, anda lebih suka menceritakan hal yang mustahil, hal jiwang-jiwang, hal yang merapu-rapu dengan bahasa yang tunggang-langgang, dan sanggup pula mempamerkan tulisan anda untuk tatapan orang ramai.

Jadi, apa ke halnya? (So, what's the point?)

Aku menceritakan tentang renunganku tentang perbuatan kita sekarang dan cerminannya apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kalaulah kita sedar perjalanan kita dalam kehidupan ini, pasti kita akan berusaha merancang dan memilih perancangan yang betul.

Lainlah anda tak bercita-cita. Anda lebih selesa bergelumang di bawah tempurung keseronokan hidup di luar negara. Anda tak punyai matlamat dan hidup tanpa matlamat, lebih baik tak payah dibiaya. Lebih elok hantar balik dan buat kerja seperti orang-orang yang tak ada cita-cita besar untuk bangsanya, untuk negaranya.

Pencacai tak pernah habis jawatan kosongnya.

Wah, sungguh kasarnya bicara!

Bak kata seorang kawan, tak perlulah berhalus atau berseni bila hendak menyampaikan mesej.

Marah bukan kepalang bila bangsawan perangai semacam bangsa sawan. Bila melakukan skandal-skandal yang mencemar kemuliaan bangsawan. Sebutkan sahaja apa. Rasuah. Hedonisme. Luar tabii. Perosak masyarakat. Penindas. Anarkis. Kapitalis.

Mana orang yang hendak dimuliakan dan dihormati itu?

Mana pulangan menghantar perantis-perantis bangsawan, menghabiskan jutaan ringgit, bila yang kembali ke tanah air menjadi bangsa yang sawan?

Jadi, marilah kita cari jalan keluarnya. Jalannya mudah, kerana jalannya lurus, tetapi nak menjalaninya, bukan semudah yang disangka. Walaupun lurus sifatnya, tapi tajam duri di kiri dan kanannya. Kadang mata gelap tak nampak jalan di hadapan, lantas tergolek jatuh di lembah kehinaan.

Anda mahasiswa. Anda pemikir yang terpilih. Bukan masanya lagi untuk berfoya-foya. Ini masanya untuk kita melihat realiti bangsa tanah air dan bangsa di perantauan, dan menjadi pemerhati, seterusnya menjadi pengkaji. Kajian dengan matlamat untuk membawa kembali bangsa kita di tanah air ke tempat yang mulia dan dihormati. Beranilah. Dan segeralah keluar dari selimut selesa dan beranilah anda menghadapi ribut taufan di zaman muda. Sang pengarang, mengaranglah untuk meninggikan pemikiran bangsa. Sang pemidato, berucaplah untuk menyedarkan hakikat kita di pentas dunia. Sang pemimpin, pimpinlah anak buah anda untuk merangka sebuah ketamadunan bangsa yang agung. Kita saling bekerjasama, di segenap cabang kepakaran. Dengan izin Tuhan, kita akan menjadi bangsa mulia, bangsa terhormat. Asalkan, dari sekarang kita bermula.

Dan, akhir persoalan, apakah kita pelapis bangsawan, atau akan menjadi bangsa sawan?


Kebebasan

Juga tentang peperiksaan, rasaku.


Yalah, musim peperiksaan ini, tak banyak sangat hal yang boleh kita buat. Apatah lagi, ehwal peperiksaan ini, membataskan apa yang kita suka buat, terutamanya jika perkara itu mengambil masa yang panjang.

Ambil contoh ini; katakanlah anda seorang peminat filem yang dimuat turun dari Torrent, sudah pasti, dalam musim peperiksaan ini, anda akan dapati, kadar tontonan anda akan berkurangan. Kenapa? Demi mencapai kejayaan akademik, anda sanggup mengurangi masa menonton movie, tetapi 'menonton' nota akademik pula!

Ada beberapa persoalan di sini.

Tidak boleh melakukan perkara yang anda suka, apakah bermakna kebebasan anda telah disekat? Apakah anda ditindas oleh 'kezaliman akademik' sampai anda nak bernyawa pun tak boleh? Apakah ini satu unsur kekejaman yang tidak berperikemanusiaan?

Oh, jangan katakan saya menyemarakkan semangat memberontak kalian kepada dekan universiti anda.
(trivia: Tahu tak, Dekan International Student Uni of Adelaide fasih berbahasa Melayu?)

Sebelum kita lanjutkan pemikiran santai ini, ayuh kita perhati dahulu apa itu definisi kebebasan.

Pada pandangan saya, definisi kebebasan yang paling tepat adalah yang dikemukakan oleh ahli Falsafah Islam tersohor- Prof. Syed Naquib Al-Attas;

Kebebasan adalah kebolehupayaan kita melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan.
-Islam and Secularism

Ya, bebas untuk melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan!

Maknanya di sini, kalau sudah tiba musim peperiksaan itu, faham-fahamlah apa yang kita kena buat. Kalau sudah berpuluh tahun hidup dalam dunia akademik, takkan tak biasa lagi?

Lainlah kalau anda itu super genius dan boleh menjawab soalan exam itu macam kopek kacang Menglembu.

Tapi, tentang genius, ada sebab kenapa Allah kurniakan kebolehan itu. Ia supaya; mereka melakukan apa yang mereka patut lakukan dengan kepala otak yang pandai itu. Mencipta alat yang memudahkan kehidupan manusia lain misalnya. Atau, membantu kawan-kawan yang tak genius untuk menghadapi gelombang peperiksaan ini.

'Melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan' ini pula amat panjang dan bercabang-cabang perbincangannya. Dalam entri ini, kita telah perhati contoh apa yang sepatutnya kita lakukan dalam musim peperiksaan. Semasa anda berehat dari membaca nota, cuba anda fikirkan hal ini, dalam konteks yang lebih besar; seperti membina negara, membina keluarga dan hidup sebagai seorang manusia di atas dunia.

Saya tak naklah memanjangkan entri ini kepada isu-isu yang lebih besar itu. Saya kembalikan kepada anda untuk memikirkannya sendiri. Tak kisahlah dalam waktu peperiksaan ini, atau luar peperiksaan nanti.

Nah, anda sekarang sudah melangkah ke alam falsafah!

p/s: entri ini, ingin saya kembarkan dengan entri Azmi, Kebebasan yang Terbatas

Peperiksaan

Dalam banyak-banyak waktu saya di Adelaide ini, waktu peperiksaan atau lebih masyhur disebut sebagai 'exam', adalah waktu yang paling saya tak suka. Tidak dapat dinafikan, waktu inilah, saya merasakan tekanan 'akademik' yang melampau, gara-gara mengumpulkan proses ulang kaji ke saat-saat akhir. Tambahan, belajar geologi yang sudah semestinya banyak menghafal, menghafal dan menghafal, sungguhpun kadang-kala tak faham pun teori dan sains di sebalik sesuatu konsep itu.


Tak mengapalah, asalkan boleh jawab untuk 'exam' kan!

Sebab lain, saya mudah jadi gelisah kerana tak dapat buat perkara-perkara yang saya gemar buat. Misalnya, membaca karya-karya sastera secara santai ataupun berkunjung ke rumah rakan-rakan. Waktu inilah, saya dapati, nota-nota geologi,itu seakan-akan seorang guru Bahasa Inggeris yang garang, yang sentiasa marah dan merotan jiwa saya jika saya tidak mengulitinya. Bila saya berani-berani mencuri masa untuk melakukan hobi saya, saya dapat mendengar leteran nota-nota geologi; seolah-olah saya bercakap Bahasa Melayu dalam kelas Bahasa Inggeris itu.

"Teja, why don't you study ah?"

Tambahan, kawan-kawan saya yang lain pun, menjadi introvet dalam waktu peperiksaan ini, lagilah sukar untuk saya menghabiskan masa berbual mesra sebagai seorang mahasiswa luar negara.

Tahun ini adalah tahun akhir pengajian. Impian saya, mahu lulus dan cemerlang dalam setiap subjek yang saya ambil. InsyaAllah, saya cuba usahakan ke arah itu. Selebihnya, saya pulangkan kepada Allah untuk tentukan. Pada masa yang sama, saya juga mengingat diri supaya hidup betul-betul normal, bukan sekadar berlagak normal. Tempoh sebulan untuk peperiksaan ini, bukanlah punca utama kita menjadi mereng, sewel atau separuh gila menjadi burung kakak tua yang baru diasah lidahnya dengan cincin suasa; mengajuk dan meniru jawapan untuk persoalan.

Peperiksaan samalah maksudnya dengan ujian. Ujian itu bukan sekadar duduk di hadapan meja, di dalam dewan dan membelek-belek kertas soalan (dan menulisnya apabila diarahkan menulis jawapan). Ujian itu lebih besar skopnya. Ujian menghadapi stress akademik. Ujian menghadapi kawan-kawan yang sudah habis peperiksaan dan menziarahi rumah kita waktu kita sedang studi. Ujian keikhlasan kita dengan Tuhan, sama ada kita akan tetap menjadi baik walaupun tiada lagi 'exam' selepas ini. Dan sebagainya.

InsyaAllah, semoga kita semua dibantu Allah dalam usaha kita menapaki kejayaan pembelajaran formal ini. Dan, kita akan tetap menjadi insan dan hamba, yang mengabdikan dirinya pada Tuhan-Nya, tak kira waktu peperiksaan ataupun tidak.

Berbahasa

1. Saya bukanlah orang yang mahir sangat berbahasa, apatah lagi berbahasa Melayu, yang banyak benar kias dan misal itu.


2. Saya mula belajar berbahasa dengan ibu bapa saya, juga opah saya yang menjaga saya dari kecil. Ayah saya orang Kedah dan ibu dan opah saya orang Perak. Jadi, sepanjang 2 dekad kehidupan ini, saya dibesarkan dengan kosa kata kedua-dua loghat negeri tersebut. Apabila direnungkan, bahasa ini telah mengisi jiwa Timur saya, memberi laluan pada saya untuk ekspresif terhadap sesuatu dan menyatupadukan kehebatan logik saintifik kepada kehalusan seni artistik.

3. Saya rasa, dengan berbahasa ini, apatah lagi berbahasa dengan betul, saya dapat menyampaikan apa yang berdegup dalam jiwa saya. Saya cuba merengkuh tenaga, menulis seperti mana yang dianjurkan oleh para cendiakawan dan budayawan bangsa, supaya bahasa yang saya warisi dari ibu bapa, opah dan keluarga saya terpelihara dengan seadanya. Malah, saya cuba sedaya-upaya untuk memahami apa yang ingin disampaikan di dalam sastera warisan turun-temurun.

4. Namun, benar kata orang, semakin tua umur, semakin banyak cabaran yang dihadapi. Bahasa ini berpasangan sifatnya. Janggallah kalau saya mengucapkan 'sama-sama' untuk membalas ucapan 'thanx.' Juga, sukar bagi saya untuk menerima 'sorry' seseorang sedangkan lebih ikhlas orang itu mengucapkan 'maaf.' Tetapi, kata Mat Shah dan Azmi, saya kena bersabar dengan realiti dan berusaha memperbaikinya.

5. Saya mempunyai impian. Saya nak memelihara semua khazanah bahasa yang diturunkan dan mewariskannya kepada anak-anak saya, sepertimana saya menerimanya dari ibu bapa dan opah saya. Saya tak mahu jadi perosak jambatan yang menyambungkan anak-anak saya dengan akar mereka.

6. Dengan berbahasa, saya tahu merasai cinta, kasih, sayang, suka dan rindu. Juga, bahasa membentuk saya supaya rasional jika membenci, memberontak, menegur dan mengkritik, bukan emosional. Dan yang paling penting, dasar semua ini adalah bahasa telah bertindak sebagai pintu yang membawa saya ke jalan kebenaran, hidup beragama dan berTuhan.

7. Saya minta simpang dari menjadi agen perosak pada kekayaan yang ada pada bangsa saya. Saya harap saya ada kekuatan untuk menyeru kawan-kawan saya untuk sama-sama dalam kesedaran ini.

8. Semoga Allah memberkati perjuangan untuk mempertahankan salah satu bahasa yang dituturkan oleh umat Nabi Muhammad ini.

Persoalan

1. Saya ada banyak persoalan yang bermain dalam kepala. Namun, saya tak sempat untuk menelaah buku, merengkuh tenaga di pustaka untuk mencari jawapan kerana ada peperiksaan. Kemudian, saya ada amali lapangan. Bulan hadapan, baharulah saya cuti dan boleh menggelisah dengan hal ehwal ini. Jadi, saya ingin catatkan apa yang bermain di kepala saya ini, supaya tak luput dan boleh dikongsi bersama anda semua.


2. Saya senang timbul ragu bila melihat tindakan orang, terutamanya meragui keikhlasan orang. Saya tengok ramai kawan-kawan saya bersemangat mengerjakan sesuatu yang mereka sendiri tak faham sepenuhnya. Apakah mereka buat itu betul-betul atas dasar penghayatan atau kerana terpaksa akur pada doktrinasi yang telah dipasakkan dalam fikiran sejak tahun pertama?

3. Saya rasa ada timbul ketakutan, apa yang diusahakan oleh kita semua adalah sebagai tindak balas atau diperkakas. Barat mungkin sahaja telah merancang gerakan itu gerakan ini, supaya kita bertelagah sesama sendiri dan berpecah dan menyesatkan antara satu sama lain. Bagaimana kita nak tahu apa yang kita lakukan ini adalah mutlak kebenarannya dan betul-betul menuju kehendak-Nya?

4. Ada dalil, namun sejauh mana kita ikhlas dengan dalil itu? Apakah kita takut kalah dalam berhujah, lalu kita 'merekrut' ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis Baginda, mengatakan yang kita ini ada juga membaca sedikit sebanyak. Tapi, adakah kita bersikap untuk membawa orang lain mempunyai pemahaman sama seperti kita atau mahu dia tunduk pada 'kehebatan' pengetahuan kita?

5. Kenapa kita terlalu cepat sangat melenting bila orang berbeza pendapat? Bila A cakap lain sikit, terus dipinggirkan. Bukannya mahu selidiki, kenapa A boleh berkata sampai begitu sekali terhadap B?

6. Apakah kita ini agen sekularisme. Seperti kita tahu, sekularisme itu adalah manifestasi orang 'liberal' terhadap tekanan golongan agama. Tak kisahlah belah mana-mana pun, tapi, apakah kita adalah agen yang menyemarakkannya dalam umat? Apakah kita golongan agamawan yang mengongkong? Atau apakah kita sang liberal yang tidak mahu tunduk pada kebenaran?

7. Kenapa susah sangat kita nak berpadu? Macamlah A itu bagus sangat dan macamlah B itu bersih sangat. Takkan tak pernah dengar perkataan 'sinergi'?

8. Cukup barangkali setakat ini. Nanti saya tambah lagi.


Mencari Petroleum

Saya segera menyimpulkan huraian panjang saya lebar saya tadi, setelah merasakan cukup untuk apa saya katakan. Saya mengulang; pertama, kami tidak makan khinzir kerana Allah melarangnya. Dia tahu apa yang baik dan tidak baik untuk kita ini, takkanlah Tuhan hendak biarkan kita makan makanan yang tak menentu keselamatannya.

Kedua, saya tambahkan, di balik hukum itu, ada rasionalnya tersendiri.

"Cuba tanyakan mana-mana kawan bioteknologis kamu, macam mana nak membunuh cacing pita dalam perut babi itu." Saya memicing mata. Dia sendiri menanyakan rasional hukum itu diturunkan dan saya menjawab seolah-olah membaca teks di depan mata. "Tambahan, dalam pandemik H1N1 ini, rasa-rasaku, eloklah kau kemudiankan babi dalam menu." Aku memang Melayu, fitrah bangsaku negatif terhadap binatang itu, sementelahlah sebabnya juga.

Dia seperti biasa, tak berpuas hati. Mana boleh kalah dalam perbincangan santai sewaktu menjawab soalan praktikal Petroleum Exploration III. Seingatku, beberapa kali juga dia menduga dengan persoalan yang mencabar. Selalunya, tanpa Aliff Adam atau Fakhruddin, aku lebih selesa mengelak dilutu dengan soalan. Segan juga kalau terkedu seorang diri kerana tak tahu hikmah di sebalik perintah dan larangan Tuhanku.

"Kalau begitu, apakah Tuhan menunjukkan cara kepada Muslim, tentang bagaimana mencari petroleum?"

Haih, ke situ pula dia. Aliff Adam di tepi sana sudah tersengih, menghantar isyarat bahawa akulah yang memikul amanah untuk menjawabnya. Oh, salahkah aku menjelaskan mengapa Muslim tidak makan babi tadi?

Dia menanti dan matanya benar-benar tajam. Macam helang menunggu mangsa yang tidak dapat lari ke mana-mana lagi.

Tiba-tiba, terpacul dari mulutku; "Habis tu, kalau 60% eksport petroleum dunia dari negara Islam, takkan itu masih tak menjawab persoalan kau?" Aha, ilhamkan datang dari langit. Persoalan dibalas dengan persoalan.

Dia meraba dagu. Kemudian, barulah dia mengangguk perlahan. "Betul juga."

Alhamdulillah, dua berbalas kosong. Syukur pada Tuhan yang memudahkan bicara.

Sewaktu sesi halaqah di hujung minggu, aku ceritakan kembali pengalamanku ini pada Azmi. Takut juga memberi jawapan yang terpesong. Lebih baik aku menyemak kembali dengan orang yang lebih arif, yang lebih ahli.

"Al-Quran bersifat umum dan syumul. Sungguhpun soalan spesifik itu tidak difirmankan, Al-Quran membentuk cara fikir kita untuk ke arah itu," hurai Azmi memecah kekabusan fikiranku.

Dan, membaca cerpen Faisal Tehrani, Muhammad Ulul Albab di Utusan Malaysia, seolah menyuluh lagi pencerahan tadi.

Al-Imran : 110, menyatakan tiga misi Muslim di dunia ini; mengerjakan kebajikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah Taala, dengan visi untuk menjadi ummat yang terbaik, umat contoh.

Wah, bukankah nilai ini dipegang dalam kebanyakan organisasi besar, walaupun dilagangkan dengan bahasa yang berbeza. Tetapi, perlu diingat, bukan sekadar mengambil satu sahaja misi, tinggalkan yang dua lagi misi itu. Islam berkonsepkan kaffah, ambil semua yang diajar, tak boleh tinggal-tinggalkan yang mana kita tak berkenan.

Saya melanjutkan fikiran. Al-Quran kaya dengan khazanah saintifiknya. Tuhan kan mencipta alam ini, masakan Dia tidak tahu bagaimana Dia mengaturnya. Teori, hukum atau hipotesis saintifik yang dikeluarkan berdasarkan kajian komprehensif dan hujah-hujah yang kukuh para saintis; sebenarnya menghuraikan firman-firman yang berkaitan dengan ciptaan-Nya. Dalam entri saya sebelum ini, kuliah Arif tentang lebah dan semut, ada surah tersendiri yang mengkisahkan kehebatan penciptaan dua jenis serangga tersebut.

Namun, teori, hukum atau hipotesis bukanlah bersifat kebenaran mutlak. Yang mutlak kebenarannya adalah Al-Quran. Kalau terbit percanggahan, perlu diperiksa kembali kajian saintifik itu. Atau mungkin kita yang salah dalam menafsir ayat Al-Quran. Ingat, Al-Quran kalau disalah tafsir, tidak akan tersampai mesej-Nya. Yang ruginya nanti, adalah kita, bukan Dia. Kitalah yang memerlukan-Nya.

Saya menyeru rakan-rakan pemikir dan seniman saya sekalian untuk memantapkan lagi kajian saintifik dan kehalusan penghayatan terhadap kehebatan Pencipta alam ini. Alam ini, diciptakan dengan begitu baik oleh-Nya, dijaga dengan begitu sempurna oleh-Nya dan diperlihatkan pada kita dengan penuh indah oleh-Nya; untuk menjadi inspirasi dalam usaha kita mengatur kehidupan dan memudahkan perjalanan kita untuk ke sana.

(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.
(Al-Ghasiyyah: 17-21)


---------------------------------

Teka-teki 2

"Seekor beruang, berjalan dari sarang sejauh 1 KM ke selatan, 1 KM ke barat dan 1KM ke utara semula. Setelah berjalan, beruang itu kembali semula ke tempat asal sarangnya tadi. Teka-tekinya, apakah nama beruang itu?" - Sumber, Arif Abdul Rahman (Arix Robotics)

Teka-teki


Salah satu langkah yang terbaik dalam menilai teka-teki permasalahan adalah dengan mengkaji apakah puncanya.

Tuhan telah mencipta dunia ini dan kejadian yang berlaku di atasnya dengan konsep 'sebab dan akibat,' atau dikenali sebagai sunnatullah.

Proses penilaian punca terhadap sesuatu kejadian itu dikenali sebagai sains. Dalam sains, logik dipakai untuk menguji kebenaran sesuatu penerangan/hipotesis terhadap kejadian itu dan disandarkan oleh hujah-hujah yang dapat disaksikan, dirasai, dibaui dan didengari oleh indera manusia.

Tetapi, apabila sains itu menyentuh hal-hal ghaib, seperti sejarah kejadian bumi, penilian punca dan hipotesis terhadap sesuatu kejadian itu disandarkan pada kesan-kesan kejadian dahulu itu.

Contohnya, jika terdapat meteorit (tahi bintang) yang membunuh kesemua dinosour dahulu, sudah pasti kawah meteorit itu akan tertinggal sebagai parut di muka bumi. Walaupun para geologis tak pernah menyaksikan sendiri kejadian tahi bintang jatuh di muka bumi, tetapi, dengan mengesani kawah yang sebesar padang bola; inferens (andaian) punca kejadian boleh dilakukan. Apabila inferens itu kuat dengan hujah-hujahnya, ia akan diterima sebagai penjelasan punca kejadian itu. Berdasarkan punca ini, para saintis akan memikirkan langkah-langkah yang terbaik sekiranya kejadian tahi bintang ini akan berulang lagi di masa hadapan.

Dalam menjawab teka-teki masalah mahasiswa di luar negara, seperti di Adelaide ini, pendekatan saintifik barangkali boleh menjadi satu pilihan. Rata-rata dari kita beraliran sains. Jadi, mudahlah untuk kita merengkuh tenaga menghuraikan kejadian/realiti masalah, mencari punca utamanya dan memikirkan jalan penyelesaian yang tepat, selaras dengan potensi tenaga dan masa kita di sini.

Namun, kadang-kala kelemahan dalam aspek saintifik ini adalah apabila sang pengkaji ralit dengan sesuatu proses dalam pengkajian saintifiknya.

Contohnya begini;

Saya yakin, ramai di sini percaya, rata-rata mahasiswa di sini masih lembap dan mandom dari segi kemahasiswaannya. Masih terkurung dalam budaya hedonisme, assobiyah, membazir duit rakyat dan celaru identiti dan jati dirinya.

Jadi, sang pengkaji, sibuklah berkumpul di malam-malam Sabtu, menghurai satu-dua jam masalah-masalah ini. Tetapi, cukupkah kita sebagai menjadi penghurai kejadian atau penghurai masalah?

Itu baru satu hal.

Satu lagi hal, adalah para pengkaji ini mengeluarkan inferens/penjelasan terhadap masalah itu bukan berdasarkan pemerhatiannya sendiri. Apa yang dikatakan oleh sang senior yang sedikit berpengaruh dan berjasa sedikit sebanyak, dijadikan sebagai hujah mutlak terhadap hurain masalah ini. Barangkali, pemerhatiannya tidak teliti seperti anda. Jadi, huraiannya mungkin tidak tepat. Hasilnya, langkah penyelesaian sama sekali tidak releven!

Lagi satu, para pengkaji macam kita ini, takut benar untuk berbincang (apatah lagi berdebat) untuk menggali punca dan cara penyelesaian yang terbaik. Kita lebih selesa menghurai masalah kelompok itu dan jemaah ini di belakang tabir kumpulan kita (comfort zone), sedangkan, tak pernah sekalipun bermesyuarat (musyawarah) untuk bersama-sama berganding tangan menghurai masalah, mencari punca, menyediakan jalan penyelesaian.

Bayangkanlah, setiap kelab, setiap mazhab dan setiap cabang pemikiran digunakan betul-betul, secara sunatullahnya, masalah ketamadunan mahasiwa Adelaide akan dapat diselesaikan dengan mudah. Mana tahu, dengan usaha ini, warga Adelaide boleh menjadi contoh pula kepada mahasiswa luar negara lain. Dan sudah pasti, negeri ini akan diberkati oleh Tuhannya, hasil usaha kita.

Nah, cakap bukan sebarang cakap, cakap bukannya berdegar-degar.

Tiada siapa yang boleh menjayakannya, melainkan kita sendiri!

Sebagai bunga pemula, mari kita sama-sama cuba selesaikan teka-teki ini.

"Apabila seorang inspektor polis datang melihat satu mayat yang mati tergantung di siling, dia berasa terkejut. Tiada dinding atau almari atau perkakas rumah di dalam bilik mayat tergantung itu. Ruang bilik itu kosong, sedangkan siling tempat tali gantung itu disangkut agak tinggi untuk dipanjat. Apa yang ada di bawah kaki mayat itu adalah hanya air yang berkumpul. Teka-tekinya, bagaimanakah si mati ini boleh tergantung di tali yang disangkut di alang yang begitu tinggi, sedangkan tiada perkakas rumah yang boleh membantunya menyangkut tali gantung tersebut?" - Sumber; Aliff Adam (Ringgo)


Gelas

Suatu hari, seorang guru bertanya pada murid-muridnya.

"Siapa yang kata gelas ini separa penuh, sila angkat tangan."

Semua murid di dalam kelas itu mengangkat tangan, kecuali seorang.

"Yang tak angkat tangan itu, boleh saya tahu, apa penjelasan anda?" tanya guru tersebut.

Murid yang malu-malu itu bangun sambil diperhatikan oleh semua warga kelas.

"Gelas itu separa kosong, cikgu."

Murid-murid yang lain ketawa mendengar jawapan itu.

"Mana ada gelas separa kosong. Tak nampak ke air di dalam tu?" sindir seorang murid di belakang.

Setelah ketawa di dalam kelas surut, guru tadi kembali bercakap.

"Jadi, untuk soalan cikgu tadi, siapa yang betul, siapa yang salah?" Celah seorang murid perempuan.

"Siapa yang angkat tangan tadi, jawapan anda betul. Kawan kita yang tak angkat tangan tadi, jawapannya betul juga."

Semua murid di dalam kelas itu saling berpandangan. Mereka berasa hairan dengan balasan yang diberikan oleh guru tadi.

"Murid-murid, pandangan kita semua terhadap sesuatu itu belum tentu sama. Walaupun jawapan yang kita berikan itu adalah jawapan serupa macam jawapan orang ramai, tetapi, jika terdapat pandangan yang 'aneh', tak semestinya pandangan 'aneh' itu salah," ujar guru tersebut.

"Kalau macam tu, dalam dunia ini, semua orang betullah cikgu? Tak kisahlah orang cakap apa pun." Murid yang duduk di belakang tadi, bertanya lagi. Dia kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh gurunya.

"Bagus soalan tu," guru itu tersenyum. "Kalau kita nak cerita tentang kandungan air di dalam gelas; kita perlu menyaksikan sendiri apa yang ada atau apa yang tiada di dalam gelas ini dan penjelasan kita adalah mengenai gelas ini juga, selagi itu, apa juga pandangan yang diberikan, adalah betul."

Guru tadi mendekati murid di belakang. "Tetapi.." Semua murid berkalih tempat duduk untuk mendengar penjelasan lanjut cikgu itu. "Jika apa kita tak menyaksikan sendiri gelas itu, menjelaskan yang lain dari gelas itu, pandangan yang diberikan itu perlu diselediki."

"Susahnya nak faham cikgu." Rungut murid perempuan tadi.

"Katakanlah saya bertanya tentang gelas dan apa kandungan di dalamnya. Tiba-tiba, ada diantara kamu yang tak tengok pun gelas itu, pandai-pandai pula bagi jawapan. Jawapan itu pula, bukan tentang gelas di depan ni, tapi tentang meja, tentang lantai, tentang kerusi. Apakah jawapan itu betul apa yang saya hendak?"

"Mestilah tak." Murid yang menjawab gelas separa kosong tadi bersemangat menjawab.

"Kita ini," guru tadi berjalan ke hadapan kelas semula. "Tuhan minta kita untuk patuh apa yang Dia suruh. Siapa boleh beritahu saya, apa yang Tuhan suruh kita buat dekat dunia ni?"

"Beribadat!"

"Jadi manusia berguna!"

"Jadi anak yang baik!"

"Betul semua jawapan itu. Nah, perasan tak, bila saya tanya soalan ni, masing-masing ada jawapan masing-masing. Dan jawapan itu pula, selari dengan apa yang Tuhan suruh buat. Tapi, logikkah kita bila ditanya tentang hal ini, kita jawab; jadi anak yang derhaka, jadi manusia jahat?"

Murid-murid tadi menggeleng.

"Jadi, kita sebagai manusia, perlulah ikut kehendak Tuhan. Dalam mengikut kehendak Tuhan ini, masing-masing ada jalan masing-masing. Asalkan jalan itu tidak bercanggah dari apa yang Tuhan suruh buat. Asalkan kita kaji dan teliti, apa yang Tuhan bagi dekat kita dengan menggunakan deria, akal dan hati kita."

Penyifatan dan Pemodelan Takungan


Definisi Penyifatan dan Pemodelan Takungan atau dalam Bahasa Inggerisnya: Reservoir Characterization and Modelling merujuk pada:



"Reservoir characterization is a process for quantitatively assigning reservoir properties, recognizing geological information and uncertainty in spatial variability."

(Lake and Carroll, 1986)


Setelah seminggu lebih kos kontot (short course) sesi kedua, akhirnya sampai juga ke hujungnya. Jujur aku katakan, sakit-sakit badan juga berkelas tanpa henti dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Tapi, demi ilmu yang amat berguna, kugagahi juga untuk tidak tidur di dalam kelas.


Yang menariknya, kos ini, telah menjelaskan konsep pemikiran emperikal yang dipakai oleh saintis, jurutera, doktor atau sesiapa sahaja berada di aliran sains ini. Umumnya, rata-rata sahabatku di Adelaide ini adalah orang sains juga. Pemikiran mereka saintifik, juga kelakuan dan perbuatan mereka mencerminkan kesaintifikan otak mereka.


Kos ini mengajar dan menambah pengetahuan serta kemahiran untuk menjelaskan sifat dan memodelkan batu takungan (reservoir) yang berpotensi mengandungi hidrokarbon. Kalau yang di luar sana bukan dari bidang geologi atau kejuruteraan petroleum, reservoir adalah lapisan bumi yang terletak beratus-ratus meter di bawah kaki anda yang berpontesi untuk mengeluarkan minyak atau gas. Para geologis dan jurutera petroleum perlu menghuraikan bentuk reservoir ini supaya kerja-kerja pengekstrakan minyak dari bawah tanah itu akan menjadi lebih mudah, selamat dan menggunakan kos yang optimum.


Untuk menghuraikan sifat-sifat reservoir ini, banyak cara yang perlu dipakai. Biasanya, cara yang dipakai oleh para geologis berlainan dengan cara yang dipakai oleh jurutera petroleum. Sang geologis menggunakan pendekatan pengetahuan dan teori geologi manakala sang jurutera petroleum menggunakan pendekatan matematik dan statistik. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai matlamat yang sama, seperti yang saya katakan tadi, mencirikan dan menghurai sifat reservoir ini dan membuat sebuah model yang sama bentuk, parameter, ciri sepertimana reservoir di bawah tanah itu.


Kedua-dua pendekatan ini adalah pendekatan saintifik, yakni, mempunyai hujah yang boleh disandarkan, boleh dijelaskan dan boleh diaplikasikan dalam realiti penghasilan petroleum.


Namun, pendekatan yang digunakan oleh geologis selalunya menghasilkan model yang ringkas dan mengabaikan bentuk-bentuk atau parameter yang penting untuk sesebuah reservoir, walaupun model yang diketengahkan itu boleh dikatakan mengikut bentuk reservoir di dunia realiti. Manakala jurutera pula, lebih cenderung untuk menghasilkan model yang kompleks berdasarkan kiraan matematik dan statistik, tetapi mengkesampingkan pula bentuk reservoir itu dalam dunia sebenar. Pokoknya, pendekatan yang dipakai oleh kedua-dua kelompok ini, ada kelebihan dan kekurangannya.


Mari kita balik semula ke dunia saintifik kawan-kawan saya di Adelaide ini.


Bukan niat untuk menggolongkan atau mendiskriminasi, tapi aku berkongsi pemerhatian sosial aku terhadap masyarakat mahasiswa luar negara di sini. Di sini, semacam ada beberapa jenis kumpulan tetapi, yang dominannya ada dua. Beza kumpulan dua kumpulan yang dominan ini macam perbezaan yang diamalkan oleh geologis dan jurutera yang dihuraikan di atas tadi. Bagiku, matlmat kedua-dua kumpulan dominan ini sama, namun pendekatan mereka berbeza. Kumpulan yang pertama menilai sesuatu dengan mudah dan memberi kesimpulan yang mudah juga. Namun, kumpulan kedua merengkuh tenaga mengira itu dan ini untuk memberi penjelasan itu secara kompleks, spesifik dan tepat, namun kadang-kala terpesong daripada 'kebenaran' untuk reservoir itu. Tentang hal ini, biarlah ia disimpan dahulu untuk entri seterusnya.


Baik, kalau anda sudah membaca hingga peringkat ini, maknanya anda bersedia untuk huraian saya untuk entri seterusnya.


Sekarang, saya perlu bergegas untuk ke kelas Reservoir Characterization and Modelling untuk hari terakhir. InsyaAllah, akan ada idea bernas yang akan saya hidangkan untuk anda nanti.


Nantikan!

The Fall



Secara keseluruhan, saya nak memberi 11 dari 10 bintang untuk filem The Fall arahan Tarsem Singh.

Pernahkah anda berada dalam situasi di mana semuanya tidak menyebelahi anda dan tiada siapa yang 'sesuai' untuk mendengar segala keluh-kesah anda. Tiba-tiba, muncul seorang budak entah dari mana, yang sudi duduk di sebelah anda, mendengar dengan teliti segala masalah anda. Tahulah seorang budak, apalah yang nak diharapkan sangat darinya. Dapatkah budak itu memahami apa yang sedang kita rasai dan sesuaikah kita hendak bercerita secara 'terus' penderitaan yang kita alami kepada seorang insan yang masih belum pun matang itu?


Itulah yang cuba ditampilkan oleh Tarsem Singh dalam cerita The Fall (2006) dan konsep naratif cerita ini benar-benar memukau. Ditambah pula dengan sentuhan senimatografi yang mantap dan latar yang mengujakan dari seluruh dunia, membuatkan saya betul- betul terpaku di tempat duduk. Selain itu, alunan muzik latar Beethoven 7th Symphony memberi kesan yang membekas dalam setiap babak The Fall.

Saya terkesan dengan pelukisan watak Roy yang terlalu kecewa dan memperalatkan Alexendria (budak yang muncul tiba-tiba di katil wadnya) untuk mengambil dadah supaya dia boleh membunuh diri. Alexendria diumpan dengan cerita yang menakjubkan dari Roy supaya mudah disuruh dan datang setiap hari di sisi katil. Namun, pada masa yang sama, Roy secara tidak sengaja mengkisahkan dirinya kembali yang dilanda penderitaan melalui cerita pengembaraan 5 orang wira yang menentang Odieus yang zalim.

Pelakon kanak-kanak, Cantica Untaru (Alexandria/watak utama), mengalami pengembaraan imaginasi yang sangat menarik hasil cerita-cerita yang disampaikan Roy tadi. Wataknya yang penuh kemanjaan, kritis dan mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi membuatkan saya terkenangkan adik kecil saya di Putrajaya. Sungguh serupa mereka ini.


Pada suatu hari, sewaktu Alexandria mencuri dadah di despensari, Alexendria telah ditimpa kemalangan. Kejadian ini telah membuatkan Roy berasa sangat sesal dan tidak lagi menyuruh Alexendria mencari dadah untuknya. Namun, waktu itu, cerita Roy masih belum tamat.

Sebaik sahaja Alexandria sedar, Roy digesa olehnya untuk menghabiskan cerita. Dalam babak ini, dikisahkan semua wira dalam cerita ini kalah satu demi satu. dengan Odieus. Alexendria amat tidak puas hati dengan apa yang perjalanan akhir cerita Roy, menangis-nangis meminta Roy supaya menukar jalan ceritanya. Bagi Alexendria, cerita Roy tidak sepatutnya berakhir sebegitu rupa kerana baginya, hero cerita Roy masih mempunyai harapan untuk menang. Saat ini, Alexendria benar-benar telah masuk menjadi sebahagian dari cerita Roy. 'This is my story too,' kata Alexendria.

Di tengah kekalutan ulang kaji peperiksaan ini, saya mengajak kawan-kawan sekalian untuk menonton filem The Fall ini, jika berasa sudah berasa bosan. Barangkali boleh mengendurkan stres dan membuka minda dan hati. Elemen kemanusiaan antara seorang lelaki dewasa (yang bermasalah) dan seorang kanak-kanak (yang belum matang) begitu indah dijalin oleh pengarang filem dan kisah Roy dan Alexendria barangkali terbias dalam kehidupan seharian kita. Bahkan, kadang-kala dengan penderitaan dalaman yang kita tanggung, mungkin cerita ini memberi sesuatu yang paling unik untuk kita meluahkan dan berkongsi pada insan yang sudi mendengar, sungguhpun pada seorang budak.

Bukankah dunia ini selalu tidak berpihak pada apa yang kita hendak?

Serangga bukan sekular

Mendengar pembentangan Muhammad Arif Abdul Rahman mengenai kehebatan disebalik teknologi ciptaan Allah terhadap serangga, membuatkan aku teruja untuk berkongsi.


Lebah madu (apis mellifera) mempunyai sistem risikan dan semboyan yang mantap. Kumpulan foregers atau pencari/penyiasat ditugaskan untuk mencari kawasan yang kaya dengan nektar. Setelah menemukan lokasi yang berpotensi menjana penghasilan madu, foregers ini akan kembali ke sarang untuk memberi penerangan pada lebah-lebah lain tentang lokasi tersebut. Namun, persoalannya, bagaimanakah foregers itu memaklumkan maklumat-maklumat penting supaya lebah-lebah lain mengetahui mengenai kedudukan lokasi syurga nektar itu?

Kata Arif dalam pembentangannya, untuk memberi taklimat tentang kedudukan lokasi nektar, foregers tadi akan menari selama berjam-jam. Tarian ini sebenarnya adalah satu bentuk komunikasi; komunkasi sang foreger dengan lebah-lebah lain. Pergerakan dalam tarian itu, mengandungi informasi tentang jarak, darjah penerbangan dan kedudukan lokasi berpandukan petunjuk dari matahari. Setiap empat minit, gerak tari foregers ini akan berubah, selari dengan perubahan kedudukan matahari di langit kerana putaran bumi. Dengan ini, para lebah pencari madu akan memperoleh maklumat yang tepat mengenai posisi dan lokasi syurga nektar tersebut.

Selain itu, Arif turut bercerita tentang semut gurun (cataglyphis fortis) yang pakar dalam menentukan vektor optimum dalam perjalanan mencari makanan. Sewaktu semut ini keluar di tengah rembang matahari Sahara, pencarian makanan tentulah menyebabkan semut tersebut terpaksa bergerak secara rawak, tetapi berkebolehan untuk pulang dalam satu garisan yang lurus semula ke sarang setelah menemui makanan.

Sebagai misalan mudah, katakanlah saya mencampakkan bola golf di tengah padang kecil. Katakanlah ia seluas 10 meter persegi. Anda akan menerewang keliling padang, merengkuh tenaga mencari sebiji bola itu. Apabila anda menemuinya, anda akan berlari terus semula ke saya, dengan cepat tentunya. Akan tetapi, bayangkan keluasan padang itu adalah 20 kali ganda saiz pertama tadi, atau katakanlah anda dipaksa mencarinya di tengah gurun yang tiada apa-apa petunjuk alam (land mark). Campur dengan rawaknya perjalanan pencarian anda terhadap bola itu, sudah tentu sukar untuk anda kembali secara garis lurus kepada saya, kerana mungkin kedudukan bola itu terletak berpuluh kilometer dari tempat saya berdiri.

Tetapi, tidak bagi semut gurun ini. Bila menemukan makanan, dan dengan fitrahnya sebagai pakar integrasi perjalanan dan pakar mencongak algebra dan vektor langkah; perjalanannya kembali ke sarang menjadi lurus sahaja tanpa bengkang-bengkok.

Yang ingin disampaikan Arif adalah mengenai kehebatan penciptaan biologi yang semestinya dicipta oleh suatu kuasa yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Kuasa itulah yang menjadikan alam ini serba canggih untuk dilihat, dihayati dan dicari apa yang ingin disampaikan di sebaliknya. Macam juga membaca buku, pembaca perlu menggali apa mesejnya. Juga macam menonton filem, apakah moral di sebalik ceritanya. Bukannya sekadar menumpukan keindahan bahasa atau aksi atau seni sinematografi. Bukan sekadar takjub dengan kehebatan lebah dan semut. Ya, itulah rahsia yang disimpan di sebalik kehebatan penciptaan ini. Dan kita, telah diseru malah digesa oleh Tuhan berpuluh-puluh kali, untuk menyelongkar rahsia ini. Tidak lain tidak bukan, sebagai salah satu pintu dan jalan untuk mengenali-Nya, dengan pintu dan jalan sains.

Tapi, realiti sekarang, sekular memusnahkan dan mencelarukan segalanya. Sekular datang dengan angkuh, memisahkan kesucian mesej di sebalik penciptaan-Nya itu dengan mengatakan bahawa alam adalah alam, bukannya alam itu alamat Ketuhanan. Maka, diperkakaskanlah alam itu seperti benda-benda mati, bukannya benda-benda yang menghidupkan rohani. Katanya, demi ketamadunan manusia, alam boleh diperkotak-katikkan. Sekadar ditiru kemantapannya, bukan lagi untuk dibandingkan siapa hamba, siapa Tuhan. Bila jadi begitu, hilanglah adab, hilanglah pengetahuan meletakkan sesuatu itu betul pada tempatnya. Maka, jadilah seperti sekarang. Bernanah dan berkahak. Busuk yang tak tertutupkan. Betapa rakusnya sekular menjahanamkan peradaban manusia.

Arif juga ada berbicara tentang kehebatan lalat buah (drosophila melanogaster). Tapi, akan menjadi panjang pula pengarangan ini. Pesan saya, lain kali, datanglah BMH untuk mengetahui input-input berguna

Kesimpulannya; mengkaji dan mengajilah, dengan mengetahui ada rahsia sedang digali. Kemudian hayatilah dengan kekaguman yang bersandar pada Pencipta. Bukan memisahkan alam dengan alamatnya. Itulah lawan sekular.

p/s; kenapalah karangan ini pelbagai nadanya. haih~

Angkut Meja

Semalam, seorang rakan satu jurusan, yang satu-satunya kawanku dari Malaysia berhasrat untuk bermalam di bilikku. Biasalah, dalam minggu ke-12 ini, memang assignment kami bertimbun-timbun. Tuhan sahaja yang tahu betapa banyaknya perkara yang perlu dibereskan minggu ini, juga minggu hadapan. Kami bertekad untuk menguatkan hati untuk kali ini dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat yang terbaik! Nama pun mahasiswa tahun terakhir.

Di kamarku ini, cuma ada satu meja studi. Jadi, memandangkan sahabatku ini ingin studi juga di kamarku, maka kami terpaksa mengangkut meja kopi rumah yang terletak di tingkat tiga. Rumahku di sini, direka bentuk dengan partition yang banyak, dan hadangan-hadangan ini dibina untuk memaksimumkan privacy kepada penduduk di dalam rumah. Kami pun, bersusah-payahlah menggunakan pelbagai formasi untuk mengelakkan bucu meja itu dari berlanggar dengan dinding. Kalau tak, mesti beratus-ratus dolar akan dicaj sebagai ganti rugi.

Malam semalam, aku terfikir, aktiviti menurunkan meja kopi ini boleh kata berkait rapat juga dengan manusia. Yalah, bayangkan kiri dan kanan kita ada dinding yang tak boleh dicalari langsung, dan kita terpaksa menjalani jalan yang sempit dan sukar untuk menurunkan meja itu ke tempatnya. Macam kehidupan juga, kita perlu berhati-hati dengan dugaan dan cabaran yang datang di kiri dan kanan.

Katakanlah dinding kiri kami adalah satu ekstrim A. Kanan dinding kami adalah ekstrim B pula. Kalau kami mengangkut meja secara sambil lewa, pasti salah satu atau kedua-dua ekstrim itu akan tercalar. Maka terpaksalah kami membayar ganti rugi.

Kadang-kadang, aku jejaki balik sejarah semalam, ada tindakan yang tidak terkawal sehingga menujah ke dinding ekstrim A atau B. Mungkin kerana sambil lewa. Mungkin kerana rasa tak bersalah pun kalau tak merengkuh akal dan nurani untuk memilih mana yang terbaik, yang sesuai dengan realiti rumah yang berbudaya privacy, budaya yang asing sekali dengan kebiasaanku.

Aku teringat kata Naqibku yang sudah pasti berstatus sahabat; "Berdakwah ini, kita kena bersabar dengan realiti."

Konsep ini memang terpakai dalam apa-apa jua bidang kehidupan pun. Fikirkanlah, Islamkan menyeluruh. Jadi, konsep bersabar dengan realiti ini pun boleh juga dipakai sewaktu menurunkan meja dari tingkat tiga, di rumah direka bentuk untuk memaksimumkan privacy.

Jadi, dalam konteks kehidupan sebenar, mungkin bukan dinding A dan B sahaja akan dihadapi, bahkan banyak lagi. Yang penting, kitalah sendiri yang perlu merengkuh akal dan nurani dalam mencari metoldoogi terbaik untuk menempuh cabaran dan dugaan. Inilah realiti kehidupan. Inilah dinamakan ujian Tuhan.

Aku betul



Dua tiga hari lepas, aku ada berbincang seorang kawan mengenai isu 'aku betul'. Sebenarnya, kalau nak bersembang hal ini, memang banyak betul teori, falsafah, pendapat dan contoh yang perlu dikongsi, barangkali sampai tak tidur-tidur malam. Tapi, perbincangan kami hanya lima minit dan masa yang pendek itu memang secara sunnah tak akan membuahkan apa-apa konklusi pun.

Tapi, dalam perbincangan itu, ada kami perkatakan tentang peranan perangai (sikap) manusia berkenaan sesuatu pegangan.

Perangai, emosi, ikatan dan apa jua perkataan lain, amat berkait rapat dengan pemikiran, pegangan dan falsafah yang mencirikan dirinya. Kebiasaannya, seseorang itu akan tegar mempertahankan pendapatnya (meskipun salah), kerana kemungkinan ada nilai sentimental terhadap pendapat yang dipegangnya itu.

Katakanlah begini:
A dijamu dengan makanan, disediakan tempat tinggal, dibawa berjalan-jalan dan ditemani sepanjang masa oleh B. Tidak lama selepas itu, B menengahkan satu pendapatnya dan menyeru A untuk mempunyai pendapat yang sama seperti B. Maka, A menerima dan mempunyai pendapat yang sama seperti B. Tiba-tiba, datang satu makhluk yang bernama C yang cuba mencabar dan menduga A dan pendapat-pendapatnya. Apakah A sanggup mengenepikan sebentar jasa dan budi yang ditaburkan oleh A demi membincangkan pendapatnya secara adil dan saksama dengan C (yang tidak mempunyai nilai sentimental langsung dengan A ataupun B)?

Secara umum dan kebiasaannya, orang macam kita ini akan tegar mempertahankan dan mengelak daripada menerima hujah yang mencabar. B mungkin boleh jadi mak bapak kita atau abang kakak kita yang bagi makan dan tempat berteduh.

Persoalannya, apakah kita akan menghalangi perbincangan yang boleh membentuk pemikiran kritikal (yang semestinya menghala ke arah kebenaran) semata-mata untuk mempertahankan ikatan, tali, norma-norma sentimental ala-ala romantik?

"Eh, mana boleh! Brother tu baik dengan kitalah. Takkan orang baik macam dia salah kot?"

"Hah, lawanlah cakap kak, nanti kakak tak bawa jalan-jalan lagi baru tahu!"

"Abang dan kakak dah cakap macam tu. Abang dan kakak bawa aku tidur-tidur, jalan-jalan, makan-makan. Depa mesti betul. Maka, aku pun betul."

Satu lagi persoalan, berbaloikah mengorbangkan kebenaran dan usaha mencapai kebenaran itu semata-mata ingin menjaga pertalian dan membayar budi yang terhutang.

"Gila ka hang nak lawan mak bapak?"

"Ukhwah, beb. Jangan main-main."

Aku tertarik dengan cerita Imam Suhaib Webb, tentang anak murid Imam Syafie. Pada suatu hari, Imam Syafie berkonfrontasi dengan anak muridnya di dalam kuliah. Kerana emosional, anak murid itu berlari keluar. Imam Syafie mendapatkan anak muridnya itu dan berkata: "Jangan lupakan persaudaraan kita."

Begitulah, perangai atau sikap dalam mempertahankan pegangan sebenarnya satu formula yang terbaik kalau digunakan dengan teknik yang betul. Nak menduga, nak mencabar, nak menghujah - ya boleh sekali. Tetapi, jangan lupakan ikatan, pertalian, persaudaraan, ukhwah sungguhpun kita berbeza.

Tapi, jangan gunakan alasan ikatan, pertalian, persaudaraan, ukhwah, mahabbah dan lain-lain lagi sebagai penghalang untuk kita mendengar dan berbincang tentang pendapat orang lain.

Sedangkan sambal pun dibubuh asam jawa, inikan pula pemikiran manusia.

Pokoknya, perhalusilah diri anda jika sering berkata 'aku betul' atau 'kami betul.'

Dua kali lima juga

Letak gambar berhala ni, marah pula Naqib nanti.

Aku baru kebah dari demam sebenarnya. Teruk jugalah, tapi aku ambil suplemen air berlebihan sebagai homeopathi untuk mengawal perubahan drastik sistem dan imunisasi badan aku. Dalam sejam, dua tiga kali kena ulang pergi bilik air. Malas aku nak menyerah dekat mana-mana klinik. Mana tahu, kalau tiba-tiba kena suspek kena selesema b**i, terganggulah kehidupan normal aku kalau kena kuarantin. Alhamdulillah, Tuhan datangkan ujian ini sekejap sahaja.

Malam semalam, aku pergi menonton filem Angels and Demons, adaptasi novel Dan Brown. Itupun, setelah cari orang nak teman macam cari jarum dekat pantai Glenelg. Mujur Fitri (Doti), yang aku jamu nasi lemak sambal cendawan, bersetuju menemani aku. Kalau tak, melepaslah peluang nak tengok wayang dengan harga tiket yang murah.

Bukan nak cerita pasal hebatnya wayang dekat Palace Nova itu, tapi aku nak cerita sikit tentang filem ini. Aku belum sempat tempuh mana-mana karya Dan Brown lagi, itulah hakikatnya. Jadi, menonton filem semalam, aku terpaksa merengkuh jugalah fakulitas pemikiran aku. Minat aku mendalam sebenarnya dalam hal ehwal rumah tangga agama Katholik ini. Yalah, membaca bab 1 buku Islam and Secularism (Syed Naquib Al-Attas), membuatkan banyak perkara yang boleh dikaitkan. Misalnya, konflik dalam filem semalam adalah mengenai pertubuhan rahsia, Iluminati, yang tiba-tiba buat hara waktu perlantikan Paus baru di Vatican. Antagonis dan Protagonis cerita dibelit-belitkan sampai aku (juga penonton) beberapa kali dikejutkan dengan twist, sampai terkeliru mana satu baik mana satu jahat. Tapi itu tak penting. Yang penting, kedua-dua pihak dalam cerita ini, memang ada buat salah sesama sendiri dan saling balas-membalas dendam sepanjang masa.

Kenapa?

Katholik dikatakan terlalu taksub. Ahli Iluminati pula terlalu mencabar ketuhanan, sehingga mendakwa sendiri yang mereka telah mencapai kekuasaan tuhan. Maka, kedua-dua ini saling bertentangan hingga banyak berlaku pertumpahan darah.

Kalau dalam bab 1, Islam & Secularism; The Contemporary of Western Christian Background, dinukilkan yang pengganut Kristian menghadapi pelbagai rencaman masalah sejak pusat keagamaan mereka dipindahkan dari Jeruselam ke Vatican. Masalah dalam kepercayaan dan pegangan Kristian semakin goyah dan pencemaran budaya Roman (yang majoritinya pagan) dalam agama Katholik menyebabkan institusi Kristian semakin parah. Gereja makin menekan rakyat dan berlakukah macam-macam peristiwa sehingga membuahkan masalah yang tak sudah-sudah sampai sekarang. Kumpulan sains, diseksa atas penemuan-penemuan mereka. Misalnya dalam peristiwa La Purga, di mana 4 orang saintis dicop dengan besi panas pada dada dan dibiarkan mati di khalayak awam, sebagai pengajaran kerana cuba mencabar institusi gereja dengan penemuan sains mereka. Banyak lagi kalau hendak diperkatakan, dan tak perlulah aku huraikan di sini, kerana masing-masing ada mata dan banyak masa lapang untuk mengetahui dan membaca tentang sejarah Eropah itu.

Jadi, apa kena mengena dengan kita pula?

Aku renungkan dan berfikir. Selama beberapa abad sistem Islam memimpin 2/3 dunia, kemajuan sains bergerak seiring dengan kemajuan agama (maksudnya, lebih ramai dapat mendalami Islam, dari akar sampai pucuknya. Bukan Islam waktu diwahyukan dulu tak maju). Tak percaya, cuba selak dalam silibus usrah, banyak diceritakan tentang hebatnya kerajaan Khalifah zaman dahulu. Dan, kemajuan orang Islam (yang bukan sahaja orang Arab waktu itu), telah mempengaruhi Eropah untuk bangun dari era kegelapan dan meneruskan tradisi ilmu yang diwarisi dari orang Islam. Sampailah satu ketika, orang Islam gagal mempertahankan sistem kepimpinan terbaik (sistem seperti Khulafa Ar-Rosyidin) itu dan ditinggalkan jauh oleh orang Barat dalam ketamadunan dunia. Boleh kata sekarang ini, anak murid mula lawan tokey. Tokey sekarang pun dah lingkup mana hala.

Tetapi, itulah hakikatnya zaman sekarang, zaman orang gelar zaman moden ini. Aku perhatikan masalah masyarakat Barat tentang perselisihan agama dan sains menjangkit pula dalam ummat Islam. Sudahlah terjangkit, merebak ke seluruh pelosok bumi Islam, sampai membarah dan tak ketahuan mana ubat mana penawar. Ummah asyik saling berkelahi dan orang-orang Barat (dan orang bukan asal dari Barat, tapi berfalsafah mengalahkan barat) bertepuk tangan macam tengok persembahan badut dekat sarkas. Badut yang pakai baju merah menjulang keris kata dengan mengikut dia sajalah ummat boleh mencapai kemajuan. Yang badut satu lagi pula kata dengan menjerit reformasi sampai serak suara, ummat akan maju. Dua-dua berlakon sungguh-sungguh berebut negeri lombong, sampai orang ramai dah cemuih tengok dua badut itu bersandiwara tak habis-habis. Akhirnya, ummat makin rugi dan dimanipulasi oleh tokey-tokey sarkis yang jelas dan nyata gipsi yang berpindah-randah dari satu negeri ke negeri lain.

Aih, macam mana pula boleh melalut ni.

Apa-apa pun, aku terkesan juga tengok cerita Angels and Demons. Rasa nak berdiri dan tepuk tangan pun ada semalam waktu cerita habis. Bukan apa, seronok sangat apat tengok kecelaruan ketamadunan rumah tangga orang. Tapi, bila fikir-fikir balik, rasa macam tepuk dekat diri sendiri dan ummat sendiri pula. Rumah tangga ummat kita pun dua kali lima juga.



 
^

Powered by Bloggerblogger addicted por UsuárioCompulsivo
original Washed Denim por Darren Delaye
Creative Commons License